Saya pernah berjumpa dengan Allahyarham Rashid Maidin di Kampung Sungai Itik, Gopeng dalam tahun 1990an. Anak saudara Allahyarham Rashid Maidin adalah bapa saudara saya yang berkahwin dengan emak saudara saya sebelah bapa. Pada masa itu, bapa saudara saya itu bertugas di Johor dan saya menetap di kampung Rapat Setia Ipoh. Pada suatu hari, satu kereta daripada Johor iaitu bapa saudara saya dan mak saudara saya serta ayah dan ibu saya telah datang ke rumah saya di Ipoh. Selepas makan malam katanya nak ajak saya ke Kampung Sungai Itik. Saya masih tidak tahu lagi apakah tujuan mereka ke Sungai Itik, Gopeng malam nanti. Memang tidak menimbulkan tanda tanya kepada saya kerana Kg. Sungai Itik adalah kampung asal bapa saudara saya dan masih ramai saudara maranya di sana. Selepas makan dan berbual-bual sebentar, kami bersiap-siap ke Kg Sg.Itik. Sebuah kereta daripada Johor dan sebuah kereta lagi saya dan isteri.
Kampung Sungai Itik seperti biasa saja dan tidak ada peristiwa ganjil yang berlaku. Cuma kelihatan beberapa gerombolan yang membawa andang berjalan di dalam kampung. Kami menuju ke sebuah rumah salah seorang saudara terdekat bapa saudara saya. Setibanya di rumah makanan sudah siap terhidang di atas meja. Kebanyakkannya makanan tradisional Perak seperti ikan talapia masak lemak dan ada juga ulam-ulaman dan tempoyak.
Sebelum itu, kami berbual-bual dengan tuan rumah dan beberapa orang kampung. Sedang berbual keluar seorang lelaki yang cerah kulitnya dan tinggi lebih kurang 5' 5" keluar daripada bilik dan tersenyum sambil bersalam dengan semua tetamu. Ada yang bangun memeluk , ada yang bersalam mencium tangannya dengan penuh hormat. Orang ini pernah saya lihat ketika siaran langsung di TV satu ketika dulu dan di dada-dada akhbar ketika tahun 1989, Perjanjian Haadyai yang telah ditandatangani di Thailand . Seingat saya Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu adalah Allahyarham TS Megat Junid dan Ketua Polis Negara adalah Tun Hanif Omar. Dalam perjanjian itu, Chin Peng, Rashid Maidin dan lain-lain telah bersetuju meletakkan senjata.
Malam itu, Rashid Maidin yang saya lihat di TV dan cerita-cerita dalam buku-buku sejarah sudah berada di hadapan mata saya. Masih tegap tubuhnya yang agak berisi dan giginya yang tersusun rapi tetapi kekuning-kuningan. Mungkin memakan banyak daun-daun hutan ketika berjuang dengan PKM dulu, bisik hati saya. Saya telah diingatkan oleh saudara maranya supaya tidak bertanyakan soalan-soalan berkaitan kegiatan silamnya di dalam PKM.
Saya mendapat tahu daripada saudara maranya kepulangan Rashid Maidin ke kampung Sg.Itik selama lebih kurang 2 minggu adalah atas ehsan Allahyarham TS Megat Junid yang ketika itu adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri. Khabarnya adik Allahyarham Rashid Maidin ada menjadi senator di Teluk Intan pada masa itu. Sudah lupa saya namanya. Malam itu seperti biasa, kami berborak hal-hal biasa tetapi kami banyak memberi peluang kepada saudara mara Allahyarham untuk berbual bertanya khabar, maklumlah saya diberitahu Allahyarham telah meninggalkan kampung sejak 1941.
Ada beberapa perkara yang ingin saya tanyakan tetapi berat mulut saya untuk bercakap. Memang saya pernah dengar daripada bapa-bapa saudara saya yang bertugas sebagai Askar dan polis hutan berkenaan dengan Allahyarham. Paling menarik adalah ceritanya semasa dalam PKM, Allahyarham sering balik ke Gopeng tetapi apabila polis cuba menangkapnya Allahyarham akan ghaib. Ini termasuklah cerita Allahyarham telah balik ke Gopeng untuk memberi penghormatan terakhir kepada jenazah ibunya tetapi selepas itu orang ramai mendapati Allahyarham telah ghaib secara tiba-tiba.
Malam itu, saya memberanikan diri bertanya. 'pak cik, sejak pak cik meninggalkan kampung dari tahun 1941, berapa kali pak cik balik ke Gopeng ni?' tanya saya dengan suara yang tersekat-sekat. Umur saya ketika itu dalam lingkungan 26 tahun. Serius mata Allahyarham memandang saya sehingga membuatkan jantung saya bergerak pantas.' Tak pernah! Tak pernah! walau sekalipun. Inilah kali pertama saya balik ke Gopeng selepas saya keluar kampung dahulu. Itu semua fitnah. semua itu nak menyusahkan keluarga saya di sini' perlahan saja suaranya tetapi tegas menafikan cerita-cerita yang tidak betul terhadap dirinya.
Saya puas mendengar jawapan itu walaupun ringkas. Sebelum balik saya sempat bergambar berdua dengannya dan bersama-sama dengan keluarga yang lain. Saya pegang erat tangannya, tangan seorang pejuang bagi pendokong fahaman yang diikutinya. Mungkin juga tangan seorang penderhaka seperti mana yang saya baca dalam buku-buku sejarah.
Selepas 6 tahun saya pulang ke Johor iaitu pada 1 September 2006 berita di TV memberi tahu bahawa Tuan Haji Rashid Maidin telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di Sisakoin, Narathiwat, selatan Thailand (dirumah anak perempuannya).Tuan Haji Rashid Maidin meninggal dunia kerana sakit tua pada umur 89 tahun. Solat jenazah dan pengkebumian telah dilakukan selepas solat Jumaat.
Sepatutnya Allahyarham Rashid Maidin bekas pemimpin Regimen ke-10 PKM yang dibawa balik dahulu. Selain Rashid, rakan-rakannya yang lain seperti Abdullah CD, Suriani Abdullah dan Shamsiah Fakeh semuanya meninggal dunia di luar Malaysia. Jadi apa hebat dan istimewanya Chin Peng? Semua rakan-rakannya tidak dapat balik ke Malaysia. Walhal Rashid Maidin sangat rindu kampung halamannya. Biarlah Chin Peng menghabiskan masa tua dan sisa-sisa hidupnya di Thailand malah biarlah dia mati di "Perkampungan Malaysia" di sempadan Selatan Thailand.
Al-Fatihah untuk Allahyarham Rashid Maidin.
Amir Hamzah
Batu Pahat